Home Seni Hidup Jual 5,000 balang Almond Bar dalam masa dua bulan

Jual 5,000 balang Almond Bar dalam masa dua bulan

Pemilik SIL Chocolatier, Adilah Hamzah (kiri) bersama Agen SIL Chocolatier, Nur Ezrin Abd. Rahman, (tengah) dan pemilik bersama SIL Chocolatier, Noor Zatul Hidayah (kanan) menunjukkan Almond London dan Almond Bar yang mereka niagakan secara atas talian ketika ditemui di Mak Kimbong, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2017.

BANGI – Pernah gagal dalam perniagaan biskut raya empat tahun lalu tidak membuat Adilah Hamzah dan Noor Zatul Hidayah, pemilik bersama SIL Chocolatier mengalah malah beliau beriltizam untuk bangkit semula dengan perniagaan sama.

Mereka kini boleh berbangga dengan hasil jualan Almond Bar dan Almond London keluaran yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

Manakan tidak, sejak memulakan semula perniagaan ini pada Mei lalu, lebih 5,000 balang biskut raya ini sudah terjual sekaligus menjadikan produk keluaran mereka laris bak ‘pisang goreng panas’ di pasaran.

“Kami bermula dengan modal sebanyak RM10,000 dan dengan modal itu kami sudah mencapat keuntungan sebanyak tiga kali. Malah jualan biskut raya kami mencecah nilai RM50,000 setakat ini,” demikian menurut Adilah kepada Malaysia Gazette.

Menceritakan pengalamannya, Adilah berkata perniagaan ini dimulakan empat tahun lalu terpaksa dihentikan kerana faktor kekangan tenaga kerja dan modal.

Menggunakan sebuah rumah di Bandar Baru Bangi sebagai pusat memproses biskut rayanya, semua proses pembuatan biskut raya ini dibuat kedua-dua mereka dibantu tiga pekerja.

Sepanjang menjalankan perniagaan ini, kedua-dua mereka hanya menggunakan jaringan media sosial semata-mata untuk memasarkan produk mereka dan akan dihantar menggunakan ejen bagi setiap kawasan.

Temubual bersama Pemilik Pemilik SIL Chocolatier, Adilah Hamzah, 28 di Mak Kimbong, Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2017.

Menurut akauntan, Nur Ezrin Abdul Rahman, beliau terpanggil untuk menjadi salah seorang agen SIL Chocolatier kerana yakin produk biskut rayanya bermutu tinggi dan pastinya akan menjadi bualan hangat pelanggan.

Percatuan itu nyata membuahkan hasil apabila lebih 300 balang Almond Bar dan Almond London dijual beliau.

“Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan sehingga terpaksa meminta pihak syarikat menambahkan lagi stok kepada pelanggan. Banyak maklum balas positif yang kami terima daripada pelanggan mengenai biskut raya keluaran SIL Chocolatier.

“Ramai pelanggan kami sudah memberi awal untuk sambutan Aidilfitri nanti, malah ada yang sudah menempah sejak hari pertama Ramadan,” katanya.

Disebabkan permintaan yang tidak menang tangan, SIL Chocolatier terpaksa menggaji lima pekerja baharu dalam melicinkan operasi pembuatan biskut rayanya.

“Permintaan memang sangat luar biasa, dan kami tidak jangka permintaan naik secara mendadak. Boleh dikatakan permintaan melebihi penawaran sehinggakan kami tidak menang tangan untuk menerima tempahan,” kata Noor Zatul Hidayah lagi.

Sebalang Almohd London dijual dengan harga RM35, manakala Almond Bar RM28 sahaja.

Demi mengekalkan momentum penjualan biskut rayanya, SIL Chocolatier memanjangkan proses tempahan sepanjang tahun untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Pelanggan boleh melayari www.silchocolatier.com untuk maklumat lanjut. -MalaysiaGazette.

+ posts