KUALA LUMPUR – Putrajaya meneruskan dasar berkecuali berhubung konflik antara Qatar dengan empat negara lain di Teluk.
Kementerian Luar Negeri berkata, pendirian itu sejajar dengan hubungan akrab Malaysia dengan kesemua negara yang terlibat dalam permasalahan konflik.
Hubungan yang telah terjalin ini meliputi segala aspek aktiviti kemanusiaan khususnya dalam kebudayaan, agama, ekonomi dan hubungan antara rakyat.
Oleh yang demikian, permasalahan yang wujud ini memang mendapat perhatian kerajaan dan rakyat Malaysia.
Menurutnya, Malaysia telah menghubungi secara berterusan dengan semua negara yang terlibat sejak berlakunya konflik berkenaan.
“Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri telah beberapa kali menghubungi rakan sejawat mereka dari seluruh dunia Islam sejak awal lagi, masing-masing bagi berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini dan juga mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan ini.
“Malaysia akan teruskan dasar berkecuali dalam permasalahan ini. Namun ia juga merupakan dasar “berkecuali yang aktif”, yang mana kita masih menawarkan untuk memainkan peranan konstruktif dengan menghubungi semua negara terlibat dan meminta mereka mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengurangkan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kementerian Luar berkata, tawaran dan keprihatinan Malaysia dalam permasalahan ini telah terima baik dan dihargai.
Tambahnya, pada masa sama juga negara-negara terlibat telah melahirkan harapan agar negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di luar rantau tersebut tidak campur tangan.
Semua negara tersebut sedang berusaha untuk menyelesaikan segala permasalahan ini melalui rangka kerja serantau seperti menerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta usaha pengantaraan Emir Kuwait dan Malaysia menghormati permintaan mereka.
“Lanjutan itu, Malaysia menyokong segala usaha oleh GCC dan Emir Kuwait,” tambahnya yang berharap satu jalan penyelesaian damai dan segera terhadap permasalahan ini.
Dalam pada itu, Malaysia terus komited dalam memerangi dan menentang keganasan dan ektremisme, dan meyokong semua usaha ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
Kenyataan Kementerian Luar itu bagi mengulas gesaan ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu Malaysia mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mencari penyelesaian terhadap krisis membabitkan Qatar dan empat negara Teluk.
Presiden PKR mencadangkan mesyuarat itu boleh diadakan di Kuala Lumpur atau Kuwait untuk membincangkan langkah dan usaha perdamaian politik serta diplomatik bagi negara-negara terlibat dalam konflik tersebut.
Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha selepas mendakwa negara itu menyokong pengganas namun dinafikan oleh Qatar.
Berikutan tindakan itu, empat negara terbabit telah menutup ruang udara dan laluan darat ke Qatar.
Negara-negara Teluk itu kemudian menyenaraikan 13 tuntutan terhadap Qatar, menuntut penutupan agensi berita Al Jazeera dan pangkalan tentera Turki, memutuskan hubungan dengan Iran serta membayar ganti rugi kepada empat negara Teluk itu dalam tempoh 10 hari.
Tuntutan itu bertujuan menamatkan dasar campur tangan luar Qatar namun Doha menyifatkan tuntutan tersebut tidak munasabah. – MalaysiaGazette