KUALA LUMPUR – Pegawai Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bakal disiasat dan diambil tindakan, termasuk dipecat, kerana membuat dakwaan palsu dalam saman sivil terbaru ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, maklumat yang diperolehinya daripada sumber White House, AS menyatakan semua kakitangan DoJ yang bersekongkol akan disiasat berkenaan saman berkenaan.
“Kita dapat maklumat bahawa mereka yang bersubahat dengan pihak tertentu membuat dakwaan palsu itu adalah pro-parti Demokrat sedangkan Presiden Amerika, Donald Trump adalah dari parti Republikan.
“Tindakan yang dilakukan oleh DoJ tidak membawa faedah malahan memberikan imej buruk kepada pentadbiran Trump serta menjejaskan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Washington,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tindakan saman sivil terbaharu dikemukakan DoJ bertujuan merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa dana seleweng dari 1MDB yang disifatkan sebagai mainan politik.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, sehingga kini DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan apa-apa maklumat lanjut berhubung tuntutan yang dikemukakan.
Mengulas lanjut, Ramesh berkata, tindakan pegawai DoJ itu bakal terbongkar kerana terpengaruh dengan pengaruh luar sehingga memfailkan saman sivil dengan dakwaan palsu melibatkan Malaysia.
Ramesh berkata, dalam saman sivil itu, DoJ tidak mahu menamakan siapa sebenarnya Malaysian Official 1 (MO1) kerana ia bukan satu dakwaan yang disertakan dengan bukti sahih.
Katanya, dakwaan tersebut adalah satu dakwaan rasmi dan Kerajaan Malaysia berhak meminta penjelasan dari Washington berkenaan saman itu.
“Sehingga kini, pihak AS tidak memberikan maklum balas terhadap permohonan peguam negara Malaysia dan ia menunjukkan satu dakwaan tidak mempunyai asas dan bukti,” ujarnya.
Ramesh berkata, tindakan pembangkang menggunakan isu ini untuk menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu tindakan tidak bertamadun kerana menggunakan anasir asing untuk melemparkan tuduhan jahat kepada BN.
“Pembangkang sepatutnya meminta penjelasan dari DOJ kerana mereka campur tangan dalam urusan hal ehwal dalaman negara dengan saman sivil itu, bukannya ambil kesempatan dan hentam kerajaan dan PM seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette