Home Utama Perkhidmatan DoctorOnCall langgar peraturan

Perkhidmatan DoctorOnCall langgar peraturan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) membantah perkhidmatan DoctorOnCall ditawarkan oleh entiti tertentu kerana ia menyalahi Akta Sijil Amalan Tahunan (APC).

Ini kerana, selama ini doktor-doktor di Malaysia dilarang sama sekali mengiklankan perkhidmatan mereka dalam mana-mana medium.

Malah, setiap pusat rawatan perubatan diwajibkan memiliki alamat kekal dan pelbagai lagi peraturan yang cukup ketat bagi melindungi keselamatan pesakit.

“Kalau peraturan secara jelas sudah menetapkan syarat-syarat tersebut mengapa ia tidak dipatuhi oleh DoctorOnCall,” kata Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail kepada MalaysiaGazette.

Melalui laman sesawang DoctorOnCall, ia menawarkan perkhidmatan perunding-video perubatan secara dalam talian pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh Health Digital Technologies Sdn Bhd.

Menurut Ahmad Syukri, bantahan sama turut disuarakan oleh Majlis Perubatan Malaysia.

Tegasnya, kaedah yang ditawarkan oleh DoctorOnCall itu juga menimbulkan tanda tanya kerana ia tidak melibatkan pemeriksaan fizikal.

Sedangkan, doktor-doktor diwajibkan menjalankan pemeriksaan ke atas pesakit secara fizikal bagi menentukan rawatan dan perubatan yang betul dan sesuai.

“Kaedah-kaedah ini yang didakwa merupakan inovasi dalam industri perubatan dilihat semata-mata mahu menghalal cara penjualan ubat-ubatan dalam talian.

“Ini kerana dalam laman sesawang DoctorOnCall juga menawarkan penjualan ubat-ubatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan didesak supaya melihat isu itu secara terperinci untuk memastikan peraturan sedia ada dikekalkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia jangka panjang.

Atau, jika perkhidmatan tersebut dibenarkan, maka Kementerian Kesihatan juga perlu ‘membuka pintu’ sama kepada doktor-doktor lain mempromosikan perkhidmatan mereka, kata Ahmad Syukri. – MalaysiaGazette