NEW DELHI – Sebanyak 41 daripada 55 cawangan restoran McDonald’s di India ditutup sementara kerana lesen tamat tempoh.
Negara itu mewajibkan pembaharui lesen – pendaftaran polis untuk mengendalikan tempat-tempat awam.
Penggantungan lesen itu berikutan pertikaian undang-undang yang panjang antara Connaught Plaza Restaurants Private Limited (CPRL), firma francaisi India yang menjalankan restoran makanan segera itu di Delhi, menurut laporan media tempatan.
“Lesen sejumlah restoran McDonald’s di Delhi telah tamat tempoh … CRPL menggantung operasi restoran yang terjejas sementara,” kata McDonald’s dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut.
Lebih daripada 1,500 pekerja dilaporkan akan kehilangan pekerjaan tetapi McDonald’s memberitahu pemegang francaisnya mengekalkan pekerja restoran dan akan membayar mereka gaji mereka dalam tempoh penggantungan.
Sebaik sahaja lesen diperbaharui oleh CPRL, restoran-restoran terlibat akan beroperasi seperti biasa, menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette