PUTRAJAYA – Kesibukan di Ibu Pejabat Imigresen di sini ekoran hari terakhir pendaftaran bagi mendapatkan kad sementara “Enforcement Card” (E-Kad) untuk pekerja asing, menjadi “lubuk emas” kepada sebilangan peniaga.
Pekarangan bangunan berkenaan yang dilihat sesak dengan warga asing menjadi tumpuan peniaga yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan untuk menjual makanan dan minuman sejak awal pagi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, ruang legar yang pada hari-hari biasa lengang bertukar menjadi seperti satu temasya apabila di tengah-tengah kesesakan kedengaran suara peniaga kecil memanggil pelanggan mereka.
Seorang peniaga minuman Amir Hassan, 51, berkata, dia tidak menyangka jualannya setakat jam 5 petang tadi sudah mencecah sehingga RM700.
Katanya, dia datang untuk berniaga di situ setelah dimaklumkan oleh rakannya yang merupakan kakitangan di jabatan berkenaan berhubung kehadiran ramai majikan dan warga asing untuk urusan pendaftaran E-Kad.
“Saya dah dua kali beli air minuman untuk tambah stok jualan di sini. Saya baru saja bermula hari ini. Kalau saya taulah nak dapat untung begini dah tentu saya datang berniaga sejak Rabu lepas.
“Untung berniaga ni bolehlah tampung duit-duit raya yang saya dah berikan kepada anak buah pada hari raya ni,” katanya sambil berseloroh.
Bagi Zulkafli Abu Bakar, 51, pula, dia yang sememangnya sudah berniaga minuman dan juga buah potong di situ menganggap lebihan untung daripada jualannnya sejak Rabu lepas sebagai bonus hari raya.
“Alhamdulillah, untuk tiga hari ini rezeki saya bertambah sedikit. Tak macam hari-hari biasa.
“Saya jual pun taklah mahal sangat. Kasihan dengan mereka yang ada bawa anak kecil. Kalau ada potongan buah yang lebih saya berikan saja percuma sebagai tambahan kepada pelanggan yang datang,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga buah, Zalilah Hussin, 49, berkata, rezeki yang semacam itu tidak datang selalu.
Katanya, meskipun telah berniaga kecil-kecilan di situ sejak lima bulan lalu, pendapatan yang diperoleh tidaklah seperti yang dinikmati sejak tiga hari lalu.
“Untung yang saya dapat ni bolehlah buat tambah-tambah beli keperluan apa yang patut.
“Lagipun sekarang ni masih lagi dalam ‘mood’ raya. Bolehlah buat belanja untuk beli apa-apa yang belum terbeli,” katanya. – MalaysiaGazette