Home Ekonomi Jumlah pelancong domestik 189j tahun lalu

Jumlah pelancong domestik 189j tahun lalu

KUALA LUMPUR – Seramai 189.3 juta pelancong domestik direkodkan pada tahun lalu, meningkat 7 peratus berbanding 176.9 juta pada tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata, bilangan perjalanan meningkat 8.0 peratus iaitu daripada 235.2 juta perjalanan pada 2015 kepada 253.9 juta perjalanan pada 2016.

Sepanjang tempoh itu, jumlah perbelanjaan pelancong domestik meningkat 10.2 peratus kepada RM74.773 juta berbanding RM67.842 juta pada tahun 2015.

Ini disumbangkan oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelawat harian dan pelancong, masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.8 peratus dan 9.4 peratus.

Membeli-belah kekal mencatatkan peratus sumbangan tertinggi bagi komponen perbelanjaan pelawat domestik iaitu 35.3 peratus.

Ini diikuti oleh perbelanjaan bagi bahan api kenderaan, makanan dan minuman, perbelanjaan oleh isi rumah yang dilawati, penginapan, pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan.

Mengikut statistik, melawat saudara-mara dan rakan mewakili peratusan terbesar tujuan perjalanan iaitu 43.6 peratus.

Manakala membeli-belah 33.1 peratus, percutian/mengisi masa lapang/berehat 11.4 peratus, hiburan/menghadiri acara khas/sukan 4.0 peratus dan rawatan perubatan/penjagaan diri 3.0 peratus.

Lima negeri menjadi tumpuan pelancong domestik iaitu Selangor (24 juta), Kuala Lumpur dan Perak (16.8 juta), Sabah (16.5 juta) dan Sarawak (16.3 juta). – MalaysiaGazette