Home Nasional Kaunter tukar kad MyRapid dibuka di Stesen LRT Sri Rampai

Kaunter tukar kad MyRapid dibuka di Stesen LRT Sri Rampai

KUALA LUMPUR – Kaunter penukaran kad konsesi MyRapid dibuka di Stesen LRT Sri Rampai bagi Laluan Kelana Jaya mulai hari ini.

Kemudahan ini dapat menampung permintaan pelanggan yang tinggal di utara Kuala Lumpur khususnya pelajar dari Kolej Tuanku Abdul Rahman dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.

Prasarana dalam kenyataannya berkata, Stesen LRT Sri Rampai adalah pusat penukaran kad konsesi keempat yang dibuka, selain Stesen LRT Awan Besar bagi Laluan Sri Petaling dan Stesen LRT Subang Jaya bagi Laluan Kelana Jaya yang beroperasi sejak 21 Jun 2017.

Penambahan pusat penukaran ini adalah sebagai daripada inisiatif untuk mengurangkan kesesakan di Hab Bas Pasar Seni.

Pusat penukaran kad konsesi ini beroperasi setiap hari bermula jam 7pagi hingga 7malam sehingga 15 Julai 2017.

Menurutnya, ketiga-tiga pusat penukaran kad konsesi MyRapid ini bagi membolehkan pemegang kad konsesi MyRapid yang terdiri daripada pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) menukar kad konsesi mereka kepada kad konsesi baru yang bercirikan platform Touch ‘n Go (TnG).

Penukaran kad MyRapid ke platform baharu ini perlu bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan yang lancar dan selesa dengan rangkaian bas Rapid KL, LRT, Monorel dan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang

“Fasa dua projek MRT Sungai Buloh- Kajang akan berintergrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Pasar Seni, manakala bagi laluan Sri Petaling/Ampang di Stesen Maluri dan Stesen Plaza Rakyat.

“Sistem tiket bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang hanya menerima token dan kad simpanan nilai TnG, pengguna kad MyRapid yang menggunakan perkhidmatan MRT melalui rangkaian LRT akan menghadapi masalah ketika hendak keluar di stesen MRT.

“Oleh itu, pemegang kad MyRapid perlu menukar kad nilai simpanan mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go baharu,” kata Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun.

Menurut Lim lagi, pengguna kad nilai simpanan (SVT) MyRapid boleh menukar kad mereka di mana-mana stesen LRT, Monorel dan BRT yang mengambil masa kira-kira lima minit dan kos penukaran adalah percuma.

Bagaimanapun, pemegang kad MyRapid dikehendaki menambah nilai kad sedia ada kepada RM5 atau RM10 yang terdekat bagi memudahkan pemindahan nilai yang disimpan pada kad baru. Semua nilai yang daripada kad sedia ada akan dipindahkan sepenuhnya ke kad baru.

Bagi pemegang kad konsesi MyRapid, penukaran hanya boleh dibuat di Stesen LRT Awan Besar, LRT Subang Jaya, LRT Sri Rampai dan Hab Bas Pasar Seni.

Pembaharuan dan permohonan kad konsesi MyRapid baharu yang boleh dibuat di pusat penukaran Hab Bas Pasar Seni sahaja.

“Kos penukaran kad konsesi MyRapid juga percuma, namun proses ini akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan pengesahan status pemegang kad konsesi, seterusnya mengambil gambar sebelum mencetak pada kad konsesi baharu dan keutamaan diberikan kepada warga emas dan orang kelainan upaya.

Pemegang kad konsesi pelajar pula, proses penukaran dijangka mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada bilangan orang ramai.

Sehingga ke hari ini, sejumlah 75,000 pemegang kad MyRapid SVT dan hampir 14,000 pemegang kad konsesi telah menukar kad mereka kepada kad baharu yang bercirikan Touch ‘n Go. – MalaysiaGazette