WASHINGTON – Rakyat dari enam negara Islam dan semua pelarian kini berhadapan dengan peraturan ketat untuk memasuki Amerika Syarikat berikutan penguatkuasaan larangan perjalanan oleh Presiden Donald Trump.
Ini bermakna mereka yang tidak mempunyai hubungan keluarga atau urusan perniagaan di Amerika Syarikat boleh dinafikan visa dan dilarang masuk ke negara berkenaan.
Hubungan datuk, makcik, pakcik dan sepupu tidak dipertimbangkan sebagai ‘bona fide’.
Peraturan itu digunapakai terhadap rakyat di Iran, Libya, Syria, Somalia, Sudan dan Yaman, selain semua pelarian.
Beberapa saat sebelum pengharaman bermula pada 8 malam waktu Washington (00:00 GMT), Hawaii telah meminta hakim persekutuan untuk penjelasan.
Hawaii sebelum ini mendakwa Kerajaan Amerika Syarikat melanggar arahan Mahkamah Agung dengan mengecualikan hak awam.
Awal minggu ini, Mahkamah Agung telah sebahagiannya memansuhkan larangan tersebut, mengangkat injunksi yang menghalang salah satu dasar utama presiden.
Mahkamah memutuskan bahawa mana-mana individu yang mahu mendapatkan visa untuk perjalanan ke Amerika Syarikat dari enam negara terbabit termasuk pelarian, mesti membuktikan mempunyai hubungan “bona fide” kepada seseorang di negara berkenaan.
Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan akhir mengenai larangan itu pada bulan Oktober.
Menurut undang-undang baharu itu, untuk tempoh 90 hari, mana-mana rakyat dari enam negara itu tidak boleh memasuki Amerika Syarikat jika tidak mempunyai saudara rapat.
Saudara rapat itu termasuk ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak (termasuk anak lelaki atau perempuan menantu), adik-beradik kandung dan adik-beradik tiri.
Mereka yang mempunyai urusan perniagaan atau pendidikan dibenarkan memasuki Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, garis panduan tersebut secara khusus menyatakan bahawa hubungan itu mestilah formal, didokumenkan dan tidak dibentuk untuk tujuan mengelakkan perintah itu.
Mereka yang sudah memegang visa sah tidak terjejas. Individu memiliki dua kerakyatan yang mengembara dengan pasport mereka dari negara yang tidak terjejas akan dibenarkan masuk.
Mahkamah juga meluluskan larangan 120 hari ke atas pelarian yang memasuki Amerika Syarikat, membenarkan kerajaan menghalang kemasukan penuntut pelarian yang tidak dapat membuktikan hubungan yang sama dengan individu atau entiti Amerika. – MalaysiaGazette