KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) didesak menamakan kerusi yang bakal ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mewakili gabungan parti pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, langkah itu bagi memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dilihat mempunyai pengaruh besar dalam pakatan pembangkang itu.
“Kalau Mahathir mahu diberikan jawatan sebagai ketua dalam PH, beliau tentu ada pengaruh besar, sedangkan PPBM hanya ada satu kerusi dalam Dewan Rakyat, paling sedikit dalam pembangkang.
“Adakah PPBM akan diberikan banyak kerusi pada PRU14 nanti yang membolehkan Mahathir memimpin Pakatan? Ini yang saya hendak parti PKR, DAP dan PAN jelaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dua minggu, sebuah portal melaporkan Biro Politik PKR bersetuju Dr Mahathir mengetuai senarai pimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Keputusan itu sekaligus merungkai kemelut pembangkang di sebalik penangguhan pendaftaran Pakatan Harapan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana perselisihan melantik Mahathir mengetuai barisan kepimpinan presiden PH.
Ramesh juga berkata, pada masa ini, kerusi pembangkang berdasarkan kepada kawasan yang ditandingi PH pada PRU13 lalu.
Katanya, memandangkan PPBM seiras UMNO, berkemungkinan PH akan memberikan ruang kepada parti itu untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi orang Melayu.
“Saya begitu berminat mendengar penjelasan pemimpin tiga parti itu di mana calon dari PPBM akan bertanding khususnya kawasan Dr Mahathir nanti,” katanya.
Beliau berkata lagi, amat pelik sekiranya DAP boleh memberikan ruang kepada PPBM untuk bertanding beberapa kerusi kerana bimbang kehilangan pengaruh, khususnya parti mirip musuhnya iaitu BN dan UMNO.
“Jangan tunggu lagi, jelaskan di mana PPBM akan bertanding pada pilihan raya nanti, rakyat mahu tahu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.