Home Akhbar Cina Denda RM10,000 walaupun miliki sebungkus rokok seludup

Denda RM10,000 walaupun miliki sebungkus rokok seludup

Operasi cegah rokok seludup. - foto Arkib MalaysiaGazette
PUTRAJAYA – Peniaga yang dikesan memiliki walaupun hanya sebungkus rokok seludup boleh dikenakan hukuman setinggi RM10,000 apabila Akta Kastam 1967 dipinda.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam berkata, tindakan tegas itu perlu diambil kerana undang-undang semasa memperuntukkan bahawa pesalah didenda 10 kali ganda berbanding hasil rampasan rokok seludup.
Katanya, apa yang mengecewakan pada masa ini ialah pegawai penguat kuasa selalunya hanya berjaya merampas belasan bungkus rokok seludup ketika operasi dijalankan.
“Kompauan ribuan ringgit yang dikenakan gagal memberi kesan ke atas pesalah,” katanya dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata, pihaknya mungkin menguat kuasa semula sistem mata demerit yang dikenakan ke atas ejen penghantaran dan perkapalan demi mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah.
Menurutnya, ramai ejen hanya mementingkan pendapatan masing-masing dan tidak ambil peduli barang sebenar yang berada dalam kontena.
Subromaniam berkata, keadaan itu adalah membahayakan kerana kumpulan militan seperti IS mungkin mengambil kesempatan untuk menyeludup barangan berbahaya termasuk senjata api ke negara ini.
“Ejen tidak boleh menolak tanggungjawab dengan hanya memberitahu bahawa mereka tidak tahu apa yang berada dalam kontena.
“Urusan kami dengan ejen harus berdasarkan prinsip saling mempercayai. Kami mempercayai ejen, tetapi mereka juga perlu memainkan peranan untuk menyiasat dan memahami latar belakang pelanggan mereka,” katanya.
Tegasnya, sistem demerit memainkan peranan penting untuk membanteras aktiviti penyeludupan serta menjamin keselamatan negara.
Di bawah sistem demerit, ejen boleh dikenakan tindakan amaran, pembekuan lesen, malahan penggantungan lesen jika mereka melakukan kesalahan berulang kali atau melakukan kesalahan serius.
Pelaksanaan sistem mata demerit ke atas ejen perkapalan dan penghantaran terpaksa ditundakan sebelum ini selepas menerima aduan daripada ejen berkenaan. – MalaysiaGazette