Home Politik Pakatan pembangkang cuba bunuh karakter Abdul Hadi

Pakatan pembangkang cuba bunuh karakter Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
SUNGAI BULOH – Pakatan Harapan (PH) cuba ‘membunuh karakter’ dan imej baik pimpinan Pas sebaik sahaja Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat sebagai cubaan campur tangan kuasa asing dalam skandal 1MDB.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, serangan itu bukan kerana tindakan Abdul Hadi yang mempertahankan Kerajaan Malaysia, sebaliknya keengganan parti Islam itu menjalinkan kerjasama politik dengan PH.

“Apabila ada parti lain seperti PAS tidak bersengkongkol dengan PH, maka mereka akan dicemuh, dihina dan jadi pembunuhan karakter, bukan kerana beliau presiden PAS ataupun tidak, tapi kerana Pas sendiri tidak bersama dengan PH.

“Jadi apa saja kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden dan pimpinan PAS akan dilihat menentang PH, bila tak sebulu, mereka akan diserang berterusan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil Khamis lalu yang mendakwa Abdul Hadi cuba menggunakan agama sebagai perisai bagi menutup dakwaan salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

Faiz juga menyifatkan Abdul Hadi sebagai seorang ahli Parlimen yang naif apabila Presiden PAS itu mahu undang-undang Malaysia bertindak menyelesaikan skandal 1MDB.

Sementara itu, beliau mengesyaki Penasihat DAP, Lim KIt Siang mempunyai agenda tersembunyi apabila menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika PH memenangi pilihan raya di negeri itu.

“Siapa Lim Kit Siang dalam PH? Kenapa dia pula tiba-tiba melompat dan mencadang nama Husam. Tentu ada udang di sebalik batu.

“Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan Kit Siang kerana dia ini manusia mempunyai pelbagai wajah dan bertopengkan pelbagai watak, dalam politik Malaysia dia rasis dan tidak pernah sokong orang Melayu,” katanya.

Sohaimi berkata lagi, Kit Siang cuba melakukan satu gerakan yang terancang demi survival dan kekuatan politik DAP.

“Kita jangan tertipu dan nampaknya sekali lagi Lim Kit Siang mainkan peranan dalam PH dan akhirnya parti-parti pembangkang lain hanya jadi pengikut saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.