Home Utama Pendaftaran E-Kad tidak akan dilanjut, tindakan tegas menanti – TPM

Pendaftaran E-Kad tidak akan dilanjut, tindakan tegas menanti – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 01 JULAI 2017
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran Enforcement Kad (E-Kad) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau majikan mereka yang telah berakhir semalam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran E-Kad telah ditamatkan malam semalam dan mereka yang gagal mendapatkannya akan diambil tindakan tegas.
“Tindakan tegas ini terpaksa kami lakukan kerana Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafa Ibrahim telah memberikan beberapa kali amaran dan saya tidak fikir amaran harus dikeluarkan lagi dan lanjutan dilakukan.
“Walaupun hanya 23 peratus daripada PATI telah memohon E-Kad, tetapi tindakan tegas mengikut Akta Imigresen terpaksa dilakukan,” katanya pada sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, di sini, hari ini.
Beliau mengulas ribuan PATI dan majikan masih gagal mendaftar diri untuk mendapatkan e-Kad kerana dilakukan di saat akhir di Jabatan Imigresen Malaysia, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya telah memberikan tempoh yang mencukupi kepada mereka memohon e-kad dan tidak wajar untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana gagal mendapatkan kad berkenaan.
“Mereka (PATI) berada di negara ini berhajat mencari rezeki, kita tidak menyekat mereka mencari rezeki secara halal, (tapi) majikan dan pekerja harus bertanggungjawab jika mereka mengetahui tidak mempunyai visa bekerja.
“Saya tidak fikir jika ada majikan atau persatuan kepada majikan mohon lanjutan dan sebagainya, saya tidak fikir perkara itu boleh dilakukan dan tindakan tegas menanti mereka,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri itu juga menafikan pihaknya telah menghentikan visa kepada rakyat Korea Utara.
“Ada yang mengatakan kita telah menghentikan visa untuk rakyat Korea Utara, berita itu tidak benar dan tidak ada sebarang arahan dikeluarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.