Home Nasional Sabah masih bebas jangkitan rabies – Yahya

Sabah masih bebas jangkitan rabies – Yahya

Yahya Hussin

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata Sabah masih lagi bebas daripada jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila selepas tiga kanak-kanak disahkan dijangkiti virus itu di Sarawak.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata negeri itu telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mencegah kemasukan haiwan hidup terutama anjing dan kucing.

“Saya percaya ini adalah kes pertama yang dilaporkan di Sarawak dan saya lega sebab Sabah masih bebas daripada jangkitan virus rabies.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (DOVSAI) Sabah untuk meningkatkan pemantauan dan mengambil langkah berjaga-jaga menghalang kemasukan haiwan hidup terutama anjing dan kucing,” katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Oleh itu beliau berkata semua lesen yang dikeluarkan DOVSAI bagi pengimportan anjing, kucing dan haiwan hidup yang lain dari Sarawak atau mana-mana kawasan jangkitan telah dibatalkan dan dihalang daripada dibawa masuk ke Sabah.

Yahya berkata beliau percaya bahawa semua pintu masuk telah dimaklumkan untuk mengetatkan pemeriksaan veterinar.

Beliau menggesa Jabatan Kesihatan untuk meneruskan kerjasama dengan DOVSAI untuk melaporkan kes-kes manusia digigit anjing.

Yahya juga menggesa orang ramai untuk melaporkan sebarang tingkah laku anjing yang mencurigakan ke pejabat DOVSAI yang terdekat, terutama di bandar-bandar sempadan.

— BERNAMA