Home Dunia Ditembak mati selepas serang polis di masjid

Ditembak mati selepas serang polis di masjid

JAKARTA- Seorang lelaki ditembak mati apabila dia menyerang dua anggota polis dengan pisau selepas menunaikan solat di Masjid Faletehan, berhampiran ibupejabat polis di Jakarta Selatan.

Insiden berkenaan merupakan insiden terkini dalam siri serangan terhadap anggota polis sejak akhir-akhir ini.

Akhbar tempatan memetik Ketua Polis Metro Jaya, M. Iriawan berkata, dua anggota polis berkenaan cedera di bahagian pipi selepas diserang dengan pisau oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Menurut beliau, lelaki tersebut melaungkan perkataan ‘taghut’ (melampau) dan cuba menikam leher salah seorang polis berkenaan selepas dia menghulurkan tangan untuk bersalam bagaimanapun pisau tersebut hanya terkena di bahagian pipi.

Lelaki tersebut kemudiannya menyerang lagi seorang anggota polis dan berjaya mencederakan mukanya.

Dia cuba melarikan diri bagaimanapun anggota polis di ibupejabat yang perasan dengan serangan tersebut cuba mengejar dan melepaskan tembakan amaran.

“Lelaki berkenaan bagaimanpun enggan menyerah diri dan memaksa pihak polis melepaskan tembakand dan dia mati di tempat kejadian,” kata Iriawan.

Dua anggota polis yang tercedera dikenali sebagai Dede Suhatmi dan Syaiful dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.- MalaysiaGazette