Home Nasional JASA mahu kerajaan siasat dakwaan dalang DoJ dari Malaysia

JASA mahu kerajaan siasat dakwaan dalang DoJ dari Malaysia

Ahmad Zahid Hamidi wizard frogs PAS UMNO Abdul Hadi Awang ducks Mohd Puad Zarkashi Parti Kuasa Rakyat politics
Mohd Puad Zakarshi
KLANG –  Kerajaan perlu menyiasat dalang sebenar disebalik tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan terbaru melibatkan AS$4.5 bilion dana 1MDB yang diseleweng.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yakin dalang terbabit datang dari Malaysia dan individu sama yang membuat aduan berkenaan kepada pihak berkuasa AS.
“Saya minta kerajaan siasat, siapa dalang ini dan hendaklah diberitahu kepada rakyat. Saya yakin ada dalang dari Malaysia. Sebab itu DoJ masih tidak mengemukakan sebarang bukti, dokumen dan sebagainya.
“Tetapi saya tahu muslihat orang yang menjadi dalang ini, asalkan DoJ sebut saja (kes), mereka akan ambil tindakan saman sivil atau memohon,” katanya kepada MalaysiaGazette pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan semalam yang mencabar DoJ AS mendedahkan dalang sebenar yang ‘mengarahkan’ badan perundangan itu untuk mengambil tindakan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng.
Sohaimi berkata, tindakan terbaru DoJ itu dilihat bermotifkan politik susulan pemimpin pembangkang kekurangan isu semasa untuk meraih simpati rakyat di negara ini.
Mohd. Puad juga mahu kerajaan mengambil tindakan tergas terhadap dalang terbabit di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana mensabotaj ekonomi negara.
“Raja Petra Kamaruddin dalam portalnya Malaysia Today menyebut nama-nama tertentu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin (dalang). Kita minta pihak berkuasa menyiasat betulkah dakwaan ini.
“Kerajaan kena ambil tindakan tegas kepada mereka ini, gunakan undang-undang yang ada, sama ada POCA dan sebagainya kerana mensabotaj ekonomi negara dengan cerita fitnah,” tegasnya.
Mohd. Puad berkata, tindakan dalang berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana mereka hanya menggunakan saman sivil itu untuk membuat fitnah dan memutarbelitkan fakta.
“Sasaran mereka adalah Perdana Menteri, 1MDB, walaupun DoJ tak menyebut 1MDB atau Perdana Menteri, hanya menyebut orang-orang tertentu seperti Jho Low, tetapi mereka putar belit.
“Mereka gunakan isu ini untuk mewujudkan satu suasana iaitu bagi rakyat keliru, bila ia berterusan, mereka mudah nak membohongi rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.