KUALA LUMPUR – Penggunaan kad kredit oleh wanita Malaysia meningkat 129 peratus sejak lima tahun lalu sementera lelaki pula berkembang 71 peratus pada tempoh yang sama.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. dalam satu kenyataan berkata, golongan wanita menggunakan kad kredit untuk membayar keperluan asas seperti insurans, barang runcit, bil utiliti serta melancong dan membeli-belah.
Jelasnya, pertumbuhan dalam penggunaan kad kredit bagi keperluan asas dan gaya hidup menunjukkan mereka memperolehi kapasiti pendapatan yang lebih tinggi dan keutamaan perbelanjaan yang seimbang.
“Disebabkan semakin ramai wanita menyertai bidang pekerjaan dan menikmati jaminan kewangan, pendapatan boleh guna mereka turut meningkat.
“Bagus apabila melihat wanita Malaysia meletakkan pembangunan peribadi sebagai keutamaan dengan memperuntukkan sebahagian pendapatan ke arah aktiviti meningkatkan kehidupan dan kegembiraan seperti mengembara, makan dan fesyen,” katanya.
Pada 2016, pemegang kad kredit lelaki dan wanita masing-masing membelanjakan 15 peratus dan 12 peratus lebih tinggi dari tahun lepas untuk produk berkaitan insurans.
Pada masa yang sama golongan wanita membelanjakan 10 peratus lebih banyak untuk barangan runcit manakala perbelanjaan barangan runcit oleh golongan lelaki meningkat hampir dua peratus berbanding 2015.
Selain itu, penggunaan kad kredit wanita meningkat secara signifikan untuk mengembara dan membeli-belah yang masing-masing 28 peratus dan 13 peratus lebih tinggi berbanding 2015.
Sementara itu, perbelanjaan lelaki bagi kedua-dua kategori masing-masing meningkat sebanyak 14 peratus dan lima peratus.- MalaysiaGazette