Home Nasional Kerajaan tak bercadang guna semula formula harga minyak bulanan

Kerajaan tak bercadang guna semula formula harga minyak bulanan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin. foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak akan menggunakan semula formula penetapan harga bahan api petrol dan diesel secara bulanan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sedang mencari kaedah yang lebih menguntungkan semua pihak dan beliau tidak menolak formula secara mingguan itu akan berubah dalam masa terdekat.

“Kita tak akan patah balik (formula bulanan) kerana kita memastikan kaedah yang kita lakukan ini bukan hanya boleh membantu rakyat sahaja.

“Dalam waktu sama industri ini akan jadi boleh diliberalisasikan dari sebulan kepada seminggu, dari seminggu mungkin setiap hari,” katanya pada Majlis Hari Ramah Mesra Aidilfitri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Rumah Amal Budi Bistari diiringi Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agung (dua kanan) pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPDNKK di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2017

Beliau berkata, formula baharu penetapan bahan api itu perlu mengambil kira kepentingan bersama dalam mencari kaedah paling sesuai untuk pengguna, pengusaha stesen dan syarikat minyak.

“Sebab itu saya tak umumkan lagi formula itu, yang pasti ia akan memberi kelegaan kepada semua pihak,” katanya.

Katanya lagi, KPDNKK komited mencari cara yang paling baik menentukan harga petrol dan diesel tanpa merugikan mana-mana pihak, khususnya pengusaha stesen minyak.

“Saya nak cari satu formula supaya mereka ini menerima hakikat bahawa harga turun (kena terima) tapi tak terlampau rugi.

“Saya sudah bincang beberapa kali dengan syarikat minyak, saya juga sudah berbincang dengan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Ghani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.