KUALA LUMPUR – Saat yang dinanti-nantikan peminat sukan menjelma apabila tiket temasya Sukan SEA KL 2017 ke-29 mula dijual pada harga antara RM10 hingga RM20 bermula hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, harga tiket yang rendah itu bagi memastikan mereka berpeluang menyaksikan aksi atlet tempatan beraksi di bumi Malaysia.
“Pengumuman hari ini sangat mengujakan kerana ia telah ditunggu-tunggu oleh peminat suka tanah air yang mana kali terakhir kita menjadi tuan rumah temasya ini adalah 16 tahun lepas.
“Inilah peluang emas untuk rakyat turut ke gelanggang memberi sokongan bersemangat juang tinggi kepada setiap atlet kita di arena cabaran 11 negara,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Sukan SEA KL 2017 pada majlis pelancaran jualan tiket temasya itu di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.
Hadir ke pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkeples Embong dan Ketua Pegawai Operasi MASOC, Shaiful Subhan Zahrin.
Jelasnya, tiket juga boleh dibeli menerusi atas talian dengan melayari www.kualalumpur2017.com.my dan di beberapa pusat jualan yang akan dimaklumkan kelak.
Sementara itu, Khairy berkata, setiap orang dihadkan kepada empat tiket sahaja dan bagi pembelian atas talian pembeli perlu memasukkan kod keselamatan untuk mengelak penjualan tiket haram.
“Malah, kami di MASOC menyedari keperluan memastikan kehadiran penonton terutama bagi acara yang mendapat permintaan tinggi atau digemari ramai, dapat diatur dengan lebih sistematik dan terkawal.
“Atas sebab ini, terdapat keperluan untuk menjual tiket bagi lokasi pertandingan yang kapasiti penonton terhad berbanding permintaan perlu kami perkenalkan.
“Ini buka baharu kerana ia pernah dilaksanakan untuk temasya terdahulu khasnya di Singapura sebelum ini sebagai mekanisme berkesan dalam mengawal kehadiran penonton ramai lebih sistematik dan teratur,” ujarnya.
Ditanya mengenai bilangan tiket yang telah dicetak, Khairy berkata, jumlahnya mencukupi.
“Kita juga menyimpan sejumlah besar tiket sukan SEA untuk mana-mana pelawat penting atau delegasi dari luar,” ujarnya.
Khairy berkata, sebanyak 19 acara dikenakan bayaran manakala 32 acara adalah percuma manakala semua acara Sukan Para ASEAN adalah percuma.
Acara yang dikenakan bayaran ialah sukan akuatik,badminton, gimnastik, karate, taekwondo, pencak silat, futsal, bola jaring,ragbi, berbasikal (trak), bola keranjang, sepak takraw, billiard dan snuker dan bola sepak. – MalaysiaGaette