Home Nasional Aplikasi harga minyak bakal diperkenal

Aplikasi harga minyak bakal diperkenal

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin . foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2017
KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal memperkenalkan aplikasi penetapan harga minyak petrol dan diesel pada masa depan bagi memudahkan orang ramai membuat perbandingan harga yang ditawarkan oleh setiap pengusaha stesen dan syarikat minyak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak bercadang melaksanakan aplikasi itu pada masa ini sehingga liberalisasi formula dicapai.
“Pengguna ini ada satu kumpulan yang boleh membantu, maknanya akan ada satu aplikasi mereka boleh guna untuk memberitahu rakan-rakan di mana jual minyak murah, stesen minyak mana, itu sampai masanya akan kita lakukan.
“Bila kita buat liberalisasi formula penetapan minyak, ia akan dilakukan seperti itu (aplikasi harga minyak), tapi ia masih jauh perjalanan, kita akan menghala ke arah itu (laksanakan aplikasi harga minyak) dalam masa depan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK di Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields, di sini, hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin menjamu satay ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JULAI 2017
Beliau mengulas kemungkinan kerajaan bakal memperkenalkan formula penetapan harga bahan api petrol dan diesel secara harian berbanding secara mingguan pada masa ini.
Semalam, Hamzah berkata, formula baharu penetapan harga bahan api itu perlu dilakukan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak sama ada pengguna, pengusaha stesen mahupun syarikat minyak.
Awal bulan ini, harga minyak mengalami penurunan berturut-turut di mana RON95 dan RON97 turun dua sen dan diesel kurang empat sen bermula tengah malam Rabu lalu sehingga 5 Julai ini.
Harga runcit RON95 pada RM1.89 seliter, RON97 (RM2.15) dan diesel pula RM1.84 seliter.
Mengulas lanjut, Hamzah juga melahirkan rasa gembira kerana ada pengusaha stesen minyak yang mula memaparkan pelbagai harga minyak di stesen minyak.
“Saya agak gembira kerana mereka sanggup melakukan itu, semua pihak patut berterima kasih kepada mereka ini,” katanya.
Hamzah berkata lagi, beliau turut ada berbincang menteri yang berkaitan dengan penetapan harga minyak dalam mesyuarat Kabinet, awal pagi tadi.
“Tentang harga minyak, tadi pun sudah berbincang sekali lagi dan saya akan bersama dengan pembekal dan pengusaha stesen minyak pada minggu depan, lepas itu saya akan umumkan.
“Buat masa ini kami masih di peringkat pengumuman setiap minggu, pukul 6 petang kita akan tahu sama ada turun atau naik harga minyak,” katanya. – MalaysiaGazette.