KUALA LUMPUR – Perkahwinan Farid Kamil dan Diana Danielle pernah menjadi perbualan tahun lalu apabila pelakon wanita itu dikatakan hadir ke mahkamah bagi mendapatkan khidmat nasihat tentang hubungan mereka.
Namun kontroversi itu tenggelam kerana kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk tidak memberi komen lanjut.
Baru-baru ini, rumah tangga pasangan selebriti kembali diperkatakan apabila mereka didakwa tidak beraya bersama pada sambutan Aidilfitri yang lalu.
Situasi itu dikesan apabila Farid memuat naik satu posting di akaun Instagramnya pada malam raya seperti memberi bayangan dia tidak beraya bersama dan anak mereka, Muhammad dan Aurora berada dengan Diana.
Farid juga tidak membuat sebarang ucapan kepada Diana seperti yang sering dilakukan oleh pasangan suami isteri yang lain.
“Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin saya mohon daripada semua… terutama kepada Muhammad serta Nur Aurora. Semoga hari raya tahun ini membawa seribu keriangan buat anakanda berdua.
“Babah di sini mendoakan semoga anakanda berdua sentiasa dilindungi Allah SWT dan berada dalam keadaan sihat. I miss both of you Muhammad and Aurora,” tulisnya.
Pada hari raya pertama pula, Diana telah memuat naik gambarnya bersama anak-anak dengan kapsyen agar mereka menyambut raya dengan gembira bersama Farid selepas beraya dengannya.
“Cerita pagi tadi: you + little boy + little girl = apa apa je lah!.
“Ibu #teamrayakl mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kejap nanti giliran Babah #teamrayaKedah pula bersama kamu berdua. Have fun and makan puas-puas. Jangan lupa kumpul duit raya. Ibu know you will be in good hands under Babah’s care, I will miss my babies. So, any more team #rayaKL? Angkat tangan!,” tulisnya. – MalaysiaGazette