KUALA LUMPUR – Majikan mengambil pendekatan “tutup pintu” untuk menghadapi operasi besar-besaran Jabatan Imigresen ke atas pendatang asing tanpa izin yang dijalankan selepas tamatnya tempoh permohonan E-Kad pada 1 Julai lalu.
Nanyang Siang Pau melaporkan, selain menghentikan operasi buat sementara waktu, sesetengah majikan juga meminta pekerja mereka yang tidak mempunyai dokumen supaya meninggalkan asrama untuk mengelakkan penahanan dan pengusiran.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, “penutupan pintu” yang berlaku ekoran operasi Jabatan Imigresen mungkin menjejaskan bekalan sekali gus melonjakkan harga barangan di pasaran.
“Projek pembinaan mungkin tergendala, sawit yang matang mungkin tidak dituai, dan sayur-sayuran mengalami kenaikan harga kerana tiada pekerja yang menanam,” katanya.
Walaupun bersetuju bahawa majikan tidak harus menggaji pekerja tanpa dokumen dan mereka yang melanggar peraturan wajar dikenakan tindakan, tetapi Shamduddin juga berpendapat bahawa Jabatan Imigresen harus memudahkan proses menggaji pekerja asing baharu.
Dalam pada itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penanam Sayur, Tan So Tiok memberi amaran harga sayur yang sudah berada pada paras agak tinggi pada masa ini mungkin mengalami kenaikan lagi berikutan masalah kekurangan pekerja.
Katanya, walaupun petani dalam sektor penanaman sayur dibenarkan memohon E-Kad, tetapi mereka yang menanam di kawasan tanah haram biasanya mengambil pekerja tanpa izin.
“Kebanyakan penanam sayur mengambil pekerja asing yang sah, tetapi mereka yang menanam di kawasan larangan biasanya mengambil pekerja yang tidak mempunyai dokumen,” katanya. – MalaysiaGazette