KUALA Lumpur- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meminta Rafizi Ramli supaya berhenti mensabotaj ekonomi negara dan percaya kepada pengurus dana profesional berhubung penyenaraian Edra Energy di Bursa Malaysia.
Menurut beliau, Edra Energy telah banyak membantu kerajaan untuk melakukan reformasi terhadap industri Loji Janakuasa Bebas (IPP) yang selama ini didakwa pembangkang sebagai perjanjian yang berat sebelah.
Jelasnya, selepas 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) memasuki perniagaan IPP melalui Edra Energy, kerajaan buat pertama kalinya melakukan tender terbuka terhadap Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada September 2012.
1MDB katanya, sentiasa meletakkan bidaan paling rendah pada setiap PPA baharu atau diperbaharui bagi membantu menurunkan harga kepada semua pembida.
“Hasil dari usaha itu, kebanyakan PPA yang sebelum ini adalah berat sebelah kini lebih adil malah analisa bank pelaburan turut mengesahkan dalam laporan mereka, perjanjian menyebelahi syarikat konsesi bagi IPP hanya tinggal sejarah.
“Untuk makluman YB Rafizi, penjimatan dari kadar PPA yang lebih adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan subsidi gas Petronas, sekali gus kepada kerajaan, diunjurkan bernilai hingga RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.
“Hasil dari usaha ini amat ketara hari ini berbanding kerugian yang dicatatkan dan memerlukan bantuan kerajaan sebagaimana berlaku pada masa lampau kerana ia melibatkan terma dan kadar PPA yang adil di mana hanya merangkumi 40 peratus dari kos, kini menyumbang kepada TNB yang turut mencatatkan keuntungan berbanding sebelum ini.
“Manakala bil subsidi gas Petronas bagi 2015 adalah 1/3 dari apa yang perlu ditanggung pada 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion.
“Penjimatan besar ini dibelanjakan bagi pembangunan dan kebajikan yang memanfaatkan rakyat di kala kerajaan mengekalkan kadar elektrik rendah untuk semua.
“Itu antara sebab mengapa sejak 2013, pembangkang tidak lagi bercakap mengenai perjanjian berat sebelah IPP berikutan kerajaan hari ini telah menyelesaikan masalah legasi yang bertahun lamanya melalui 1MDB.,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, Edra Energy juga telah dijual kepada syarikat asing dan kini sudah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1MDB.- MalaysiaGazette