Home Ekonomi RFP Bandar Malaysia dikeluarkan hari ini

RFP Bandar Malaysia dikeluarkan hari ini

Irwan Seregar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) setakat ini telah menerima sambutan positif terhadap permohonan cadangan (RFP) bagi Projek Bandar Malaysia yang dikeluarkan secara rasmi pada hari ini.

RFP itu ditawarkan kepada pihak yang berminat untuk membida sebagai pemaju induk projek berkenaan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Bercakap kepada pemberita di luar Persidangan Serantau RHB Banking Group ‘One Belt, One Road, One Asia’ di sini, beliau yang juga Pengerusi TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd berkata, kriteria dan syarat baharu yang akan ditetapkan bagi penyertaan dalam RFP itu menumpukan aspek seperti pengalaman syarikat serta berada dalam senarai Fortune 500.

Ditanya sama ada pemaju induk mestilah syarikat berpangkalan di peringkat antarabangsa, beliau berkata, RFP dibuka kepada semua syarikat yang memenuhi kriteria yang disenaraikan.

Meliputi kawasan seluas 196.7 hektar, Bandar Malaysia, yang terletak di Sungai Besi, adalah lima kali kawasan Kuala Lumpur City Centre, berserta taman.

Mohd Irwan, yang memberikan ucaptama pada persidangan itu berkata, inisiatif Belt Road China akan menjadi keadaan menang-menang bagi kedua-dua negara.

“Kita mesti mengambil peluang kerana kita memerlukan dana dan ia ditawarkan pada kadar yang lebih murah dengan tempoh pembayaran jangka panjang.

“Kita akan mendapat faedah dari segi projek infrastruktur dan ini akan mendorong pertumbuhan,” katanya. – MalaysiaGazette