Home Nasional Suspek MH17 didakwa di Belanda 

Suspek MH17 didakwa di Belanda 

Liow Tiong Lai

PUTRAJAYA – Malaysia bersetuju bahawa pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penembakan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di Ukraine pada 2014 dilakukan di Belanda.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia bersama-sama dengan rakan dalam Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) iaitu Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju mengenai pendakwaan nasional dibuat di Belanda sebagai proses yang efektif bagi memastikan kebertanggungjawaban untuk mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

“Perbicaraan akan berlangsung dalam rangka prosiding keadilan jenayah Belanda berdasarkan undang-undang jenayah substantif dan prosedur,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Liow berkata, Perkhidmatan Pendakwaan Raya Belanda akan membuat keputusan yang perlu mengenai pendakwaan pada masa yang sesuai memandangkan siasatan jenayah berhubung insiden itu masih dijalankan.

Beliau berkata, sistem perundangan Belanda memberi hak yang sewajarnya kepada keluarga terdekat untuk mengikuti dan mengambil bahagian dalam prosiding.

Liow berkata, Belanda mengekalkan rangka perundangan bersama dengan banyak negara bagi bantuan perundangan dan ekstradisi, berdasarkan perjanjian pelbagai hala dan dua hala.

Kerjasama antara pihak berkuasa penyiasatan juga akan diteruskan dalam fasa pendakwaan, kata beliau.

“Melalui kerjasama ini Malaysia dilihat lebih tegas untuk mendapatkan keadilan. Sebagai sebahagian daripada JIT, Malaysia tetap berazam dalam usaha untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab bagi tragedi yang malang ini,” kata beliau.

Liow berkata, memandangkan situasi geo politik yang rumit, maka adalah penting siasatan jenayah dijalankan secara bebas.

“Pada ketika ini, adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai hasil siasatan,” kata beliau.

Liow berkata, ketika kesedihan keluarga dan orang tersayang kepada mangsa MH17 tidak akan lenyap, Malaysia akan melakukan segala-gala yang mungkin untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara bebas, adil dan telus.

“Kita tidak akan berganjak dalam usaha mencari kebenaran sehingga semua fakta diketahui dan keadilan dilaksanakan,” kata beliau.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014. – MalaysiaGazette