Home Nasional Tumbuk jurutol: Pengawal keselamatan didenda RM1,000

Tumbuk jurutol: Pengawal keselamatan didenda RM1,000

Gambar hiasan
PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menumbuk seorang jurutol wanita di sebuah plaza tol, hujung bulan lalu.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap C. K. Dilandran Kumar, 26, selepas dia mengaku bersalah menumbuk Nur Atikah Aznan, 23, sehingga wanita itu mengalami bengkak di bahagian mulutnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 hari sekiranya denda gagal dibayar.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kaunter 1A, Plaza Tol Sunway Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Subang Jaya, di sini, pada 5.37 petang, 26 Jun lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan atau denda sehingga RM1,000.

Tertuduh membayar denda itu.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih bertindak memaki mangsa yang bekerja sebagai jurutol selepas berlaku salah faham antara mereka semasa tertuduh ingin membayar tol.

Tertuduh yang tidak berpuas hati cuba merakam kejadian tersebut namun mangsa menahan tangan tertuduh sehingga telefon bimbit lelaki terbabit terjatuh yang menyebabkan dia naik berang dan bertindak menumbuk mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan tertuduh telah ditahan untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA