PUTRAJAYA – Sebanyak 23 doktor yang tidak mempunyai kelulusan dalam Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu menduduki ujian subjek berkenaan sehingga lulus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
“Jika mereka gagal (November ini) mereka perlu terus menduduki (ujian kertas Bahasa Melayu SPM) sehingga mereka lulus,” katanya apabila ditanya jika kesemua doktor itu tidak lulus kertas BM pada SPM November ini ketika ditemui pemberita selepas merasmikan blok Obstetrik dan Neonatologi Hospital Putrajaya, di sini hari ini.
Semalam, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memutuskan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian subjek Bahasa Melayu pada peringkat SPM bagi lantikan kontrak pegawai perubatan gred UD41.
Timbalan Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusan itu berkata, hanya terdapat 23 doktor termasuk anak diplomat Malaysia yang mendapat pendidikan perubatan di luar negara diberi kelonggaran itu sebelum ini.
Kabinet semalam turut memutuskan supaya Akta Perubatan 1971 dipinda untuk mewajibkan perkhidmatan pegawai perubatan selama dua tahun selepas tamat latihan dan memasukkan syarat kelulusan Bahasa Melayu.
Dr Subramaniam berkata sementara menunggu pindaan Akta Perubatan 1971 dibentangkan di Parlimen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selaku agensi pekerjaan akan melaksanakan syarat lulus Bahasa Melayu dalam pengambilan kontrak pegawai perubatan gred UD41.
Beliau berkata isu itu dijangka selesai dalam masa setahun dan menjelang tempoh itu kesemua doktor yang dilantik dijangka memenuhi syarat lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM.
“Ini kerana keputusan Jemaah Menteri semalam adalah jelas dan mereka yang tidak memiliki kelulusan kertas Bahasa Melayu peringkat SPM perlu melakukan tindakan yang sewajarnya. Jumlah golongan ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan doktor siswazah setiap tahun,” kataya.
— BERNAMA