Home Politik Hasrat Ezam tubuh Parti Bebas Rasuah tidak kesampaian

Hasrat Ezam tubuh Parti Bebas Rasuah tidak kesampaian

Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Mohamad Ezam Mohd Nor yang mahu mewujudkan Parti Bebas Rasuah akhirnya menyerah kalah, apabila mendapati Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih tidak menberi sebarang petunjuk positif terhadap hasratnya itu.

Mohamad Ezam yang merupakan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hisbah mengambil keputusan tersebut apabila gagal mendapat kelulusan pertukaran nama dan perlembagaan Parti Generasi Baru kepada Parti Bebas Rasuah setelah menunggu selama dua bulan.

Menerusi satu kenyataan Ezam mendakwa, pentadiran kerajaan hari ini mungkin belum selesa dengan penubuhan sebuah parti yang khusus untuk melawan rasuah di negara ini.

“Walaupun di beberapa negara maju dan membangun yang lain ‘single objective party’ dan khusus melawan rasuah adalah sesuatu yang tidak mustahil dan berlaku.

“Mungkin pentadbiran kerajaan yang baru selepas tumbangnya kerajaaan kleptokrasi ini akan membenarkan penubuhan Parti Bebas Rasuah,” katanya.

Menurut Ezam lagi, beliau akan terus berjuang dengan tumpuan khusus melawan rasuah melalui Hisbah.

Katanya, Pertubuhan Hisbah adalah sebuah pertubuhan yang terdaftar secara sah di Malaysia sejak 2015 dan di Indonesia sejak 2013.

Tambah beliau, Hisbah Malaysia sedang dalam draf akhir menyiapkan edisi Malaysia buku Islam dan Rasuah dengan tumpuan khusus kepada persoalan kleptokrasi ataupun Al Ghulul di dalam Islam selain persoalan rasuah di dalam Islam.

“InsyaAllah akan siap dan dilancarkan untuk bacaan umum dalam waktu terdekat ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Ezam berkata, beliau percaya kegagalan usahanya itu tidak akan mematahkan semangat untuk berjuang melawan rasuah di dalam platform dan wadah yang pelbagai dengan matlamat yang sama. – MalaysiaGazette