SUBANG – Malaysia bersedia untuk mempelajari pendekatan yang diguna negara-negara Asia Barat dalam berdepan dengan militan Daesh bagi mengekang ancaman keganasan di rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi tujuan itu beliau akan mengadakan lawatan serta berjumpa dengan pemimpin di Asia Barat khususnya di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain pada minggu depan untuk memahami ancaman Daesh yang dihadapi oleh negara-negara tersebut.
“Penting untuk kita belajar dan memahami apa yang terpaksa dihadapi oleh negara-negara Asia Barat dan bagaimana mereka mengekang ancaman Daesh.
“Kita juga akan berkongsi maklumat risikan dengan negara-negara tersebut jika ada sebarang pergerakan militan Daesh yang berada di Asia Barat melarikan diri ke rantau ini setelah berlaku beberapa insiden di Raqqa, Syria dan juga Mosul, Iraq,” katanya.
Hishamuddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Mutiara Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishamuddin berharap dapat menghantar bantuan kemanusiaan ke Marawi Filipina yang sekarang ini sedang dilanda konflik.
Katanya, bantuan tersebut sangat diperlukan oleh orang awam yang ditangkap antara angkatan bersenjata Filipina dan militan Islam.
“Komander Pasukan Bersama kami di Manila hari ini ada bercakap dengan kerajaan Filipina tentang bagaimana kami dapat membantu,” ujarnya.
Tambah beliau, konflik di Marawi merupakan satu kejadian yang melibatkan semua orang di rantau ini.
Bagaimanapun katanya, sesuatu yang paling mustahak adalah untuk memastikan militan di sana tidak menyeberang ke Sabah. – MalaysiaGazette