Home Utama RM6.8 bilion dibelanja rakyat Malaysia beli telefon pintar

RM6.8 bilion dibelanja rakyat Malaysia beli telefon pintar

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar tahun lepas, demikian menurut kajian organisasi penyelidikan pemasaran terbesar Jerman, GfK.

Terminal Jualan GfK menunjukkan peningkatan jualan ketara daripada RM5.4 bilion pada 2015, dengan kenaikan terbesar disumbangkan oleh model telefon pintar pertengahan yang berharga di antara RM900 ke RM1,050, kata pengarah urusan organisasi itu bagi Asia Tenggara, Stanley Kee dalam satu kenyataan.

Telefon pintar.

Beliau berkata rekod itu dibuat bermula Mac 2016 hingga Februari 2017.

“Telefon pintar berjenama dari China merupakan pemacu utama kepada peningkatan permintaan peranti mudah alih tahun lepas, yang mana ia juga mencatatkan jumlah tertinggi jenama telefon pintar baharu memasuki pasaran.

“Dengan peningkatan rangkaian mudah alih baru-baru ini, pengguna di negara ini sering menggunakan telefon pintar mereka bagi aktiviti seperti membeli-belah dalam talian, media sosial dan pencarian umum dalam internet,” katanya.

Terminal jualan GfK juga menunjukkan 37 peratus telefon pintar yang dijual di seluruh negara semasa tempoh itu mempunyai skrin bersaiz sekitar 5.01 hingga 5.6 inci, berbanding 21 peratus pada tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan saiz skrin sebagai segmen terpantas dalam masa 12 bulan.

Kee berkata aplikasi membeli-belah juga semakin popular serta turut membuka laluan kepada pembayaran mudah alih.

“Lebih ramai pengguna hari ini menyumbang kepada peningkatan dagangan mudah alih (m-dagang) di Malaysia, membuat bayaran menerusi peranti mudah alih untuk membeli barangan runcit, tiket penerbangan dan perkhidmatan seperti Grab dan Uber,” katanya.

Beliau berkata pada 2016, kajian pengguna Pemantau Pembeli Elektronik GfK yang dilaksanakan di rantau Asia Pasifik, menunjukkan kebanyakan responden Malaysia menentukan harga dan jenama sebagai faktor utama dalam pembelian telefon pintar.

“Memandangkan pengguna Malaysia bergantung kepada harga, kami percaya kategori pertengahan telefon pintar akan terus mendominasi pasaran tahun ini,” kata Kee. – BERNAMA