Home Politik DAP mahu jumpa ROS – Guan Eng

DAP mahu jumpa ROS – Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (tengah) bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang (dua kanan), Setiausaha Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh (kanan) dan ahli-ahli majlis tertinggi DAP semasa mesyuarat khas berkenaan arahan ROS kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – DAP akan membuat keputusan sama ada hendak mengadakan pemilihan semula (CEC) atau sebaliknya selepas kepimpinannya berjumpa dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, sehingga hari ini parti itu belum menerima sebarang surat daripada ROS arahan supaya mengadakan CEC baharu sepertimana kenyataan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

“Kita tidak akan mengadakan CEC baharu dan kita sifatkan arahan daro ROS itu sebagai tidak berbangkit.

“Kita mahu baca surat rasmi dari ROS terlebih dahulu. Selepas itu kita buat penelitian, penilaian dan keputusan (sama ada mahu mengadakan CEC baharu),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tergempar di Ibupejabat DAP di sini hari ini.

Semalam, ROS meminta DAP supaya mengadakan sekali lagi CEC baharu bagi membolehkan perwakilannya memilih 20 anggota kepimpinan parti secara sah dan telus.

Mohammad Razin dilaporkan berkata, ini kerana ROS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama DAP hasil pemilihan semula pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Beliau berkata, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Sehubungan itu, ROS mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baru untuk memilih 20 anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu diiktiraf.

Menurut Guan Eng, 20 anggota jawatankuasa DAP yang ada hari ini adalah sah berdasarkan laporan yang dihantar kepada ROS dan agensi pendaftar pertubuhan itu mengeluarkan arahan dalam surat bertarikh 30 Julai 2013.

“Pada pemilihan tahun 2013 itu, kita menghantar laporan yang lengkap mengenai pemilihan dan ROS juga telah memberi jawapan positif.

“Jadi, kenapa pula kita perlu mengadakan pemilihan semula. Ini tidak lagi timbul sepatutnya. Tetapi, walau apapun, kita akan tentukan jawapan dan keputusan selepas bertemu ROS dalam tempoh terdekat ini,” katanya. – MalaysiaGazette