KUALA LUMPUR – Ketika ini di laman sosial, isu kontroversi yang sedang hangat diperkatakan adalah kisah percintaan anak Ketua Pegawai Eksekutif, Chryseis Tan dan pewaris Kumpulan Naza SM Faliq SM Nasimuddin.
Netizen jelas berminat memberi pandangan mereka kerana kedua-duanya berasal dari keluarga berprofil tinggi apabila Chryseis, 29 merupakan anak kepada jutawan bertaraf bilionaire, Tan Sri Vincent Tan.
Apatah lagi, gambar-gambar majlis pertunangan mereka sebelum lamaran oleh SM Faliq, 31, di Marrakesh, Maghribi pada 30 Jun lalu turut menjadi perhatian ramai.
Faliq yang merupakan anak bongsu Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin adalah Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI Sdn. Bhd.,dikatakan mengenali Chryseis sejak di bangku sekolah lagi.
Chryseis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Times Square.
Sebelum ini, kisah cinta tidak pernah disembunyikan kerana Chryseis gemar berkongsi gambar mereka ketika bercuti bersama menerusi akaun laman Instagramnya.
Namun terdapat netizen yang ‘pendek akal’ kerana ada bersikap rasis apabila menyifatkan perkahwinan pasangan berbeza kaum itu sebagai sesuatu yang memalukan bangsa mereka sendiri.
Ada tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut kerana melibatkan perbezaan agama apatah lagi Chryseis perlu memeluk agama Islam sebagai mana lazim dilakukan semua mualaf.
Malah terdapat netizen yang biadap menerusi komen celupar mengenai songkok murah dikenakan Faliq yang ditohmah mereka sebagai jelik sebelum meleret pula kepada isu sensitif agama Islam seperti Chrysesi wajib berpuasa selepas ini.
Perang di kalangan netizen lain mula terjadi apabila mereka yang tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut adalah pihak yang ketinggalan zaman kerana isu perkahwinan berlainan bangsa bukan sesuatu baharu di dunia.
Yang pasti, kritikan kurang ajar dilemparkan netizen terhadap Faliq dan Chryseis tidak sepatutnya berlaku sebaliknya bergembira dengan ketentuan jodoh individu berprofil tinggi. – MalaysiaGazette