KUALA LUMPUR – Eksport negara akan kekal berkembang baik pada tahun ini berikutan prestasi negara-negara besar dan ekonomi baru muncul berada pada momentum menaik.
Peningkatan harga komoditi turut memacu eksport negara, kata MIDF Research.
Lantaran itu, firma penyelidikan mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport negara pada tahun ini pada 14.5 peratus.
Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan eksport bulan Mei tahun ini meningkat lebih tinggi daripada import buat kali pertama tahun ini, masing-masing pada 32.5 peratus berbanding 30.4 peratus tahun ke tahun.
Mengikut bulanan, eksport dan import serta jumlah perdagangan berkembang dengan kukuh, masing-masing sebanyak 7.5 peratus, 13.3 peratus dan 10.2 peratus.
Berdasarkan momentum semasa, firma penyelidikan itu berkata, nilai purata eksport untuk tempoh lima bulan pertama ialah RM75.6 bilion manakala purata bulanan 2016 ialah RM65.5 bilion.
“Kami menjangkakan eksport akan terus berkembang baik pada separuh kedua tahun ini.
“Pemulihan berterusan secara meluas dalam perdagangan global dan harga komoditi stabil adalah antara faktor yang meningkatkan prestasi perdagangan luar negara,” katanya.
China dan Amerika Syarikat, masing-masing menyumbang 4.4 peratus dan 4.0 peratus kepada jumlah pertumbuhan eksport, manakala ASEAN dan Kesatuan Eropah masing-masing menyumbang 8.2 peratus dan 0.2 peratus.
Firma penyelidikan itu menjangkakan prospek perdagangan global bagi separuh kedua 2017 akan terus cerah memandangkan keyakinan pasaran dalam ekonomi utama yakin dan ancaman perlindungan yang semakin berkurangan. – MalaysiaGazette