Home Nasional Seorang lagi kanak-kanak disyaki jangkitan rabies

Seorang lagi kanak-kanak disyaki jangkitan rabies

KUCHING – Seorang lagi kanak-kanak dari Serian telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak kerana disyaki jangkitan rabies (anjing gila).

Ia adalah kes keempat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, hospital masih menunggu laporan ujian untuk mengesahkan jika kanak-kanak terbabit dijangkiti virus itu.

Katanya, kanak-kanak itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dengan seorang lagi mangsa yang disahkan terkena jangkitan rabies minggu lalu.

Kanak-kanak perempuan itu berusia tujuh tahun dan berasal dari Kampung Lebor, Gedong.

“Mangsa mengalami demam selepas digigit anjing dan hanya menerima rawatan selepas sebulan apabila keluarganya mendapati ada yang tidak kena dengan tingkah-laku anak mereka,” katanya.

Selasa lalu, dua adik-berdik, masing-masing berusia enam dan empat tahun meninggal dunia akibat jangkitan rabies. – MalaysiaGazette