Home Nasional SKMM ambil tindakan 1,500 akaun palsu dalam media sosial

SKMM ambil tindakan 1,500 akaun palsu dalam media sosial

Salleh Said Keruak

BERA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap hampir 1,500 akaun palsu yang telah dikenal pasti dalam pelbagai platform media sosial sejak Januari hingga Jun lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, SKMM menerima aduan awam dan memantau akaun palsu dalam media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram yang digunakan untuk tujuan negatif termasuk penyebaran berita dan kandungan palsu.

“Ia termasuk maklumat palsu mengenai isu politik melibatkan ahli politik di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Anggota Parlimen Bera.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata, antara tindakan terbabit ialah melaporkan akaun terlibat kepada pihak penyedia platform media sosial bagi tindakan pemadaman seterusnya membuat siasatan lanjut bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang termasuk pendakwaan.

Beliau juga meminta netizen yang menemui akaun yang disyaki palsu atau memaparkan berita atau kandungan palsu supaya memainkan peranan dengan menggunakan kemudahan ‘report’ yang disediakan oleh media sosial terbabit, agar akaun berkenaan dapat dipadamkan dengan segera.

Sementara itu, katanya SKMM juga sedang mengkaji agar media dalam talian berdaftar dengan SKMM mengikut kriteria tertentu.

“Mana-mana portal atau kandungan web yang boleh dikategorikan sebagai media dalam talian perlu didaftar untuk membolehkan ia dipantau dan diambil tindakan jika melaporkan berita yang berunsur fitnah atau palsu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya memohon kepada kementerian agar Pejabat Penerangan daerah Bera dibuka semula dan diselaraskan dengan Pejabat Penerangan Temerloh.

“Kita sudah jadi daerah (Bera) kita minta agar Pejabat Penerangan dikembalikan bagi memudahkan gerak kerja parti di kawasan ini,” katanya.

Salleh dalam ucapannya berkata, permohonan berkenaan akan dipertimbangkan. – Bernama