PETALING JAYA – Pesawat pengawasan maritim canggih Airbus C295 kini berada di Malaysia, iaitu antara negara persinggahannya dalam jelajah Asia selama dua minggu.
Ketua Pemasaran Pesawat Taktikal serta Perisikan, Peninjauan dan Pengawasan (ISR) Airbus Fernando Ciria berkata pada masa ini pesawat itu sedang dipamerkan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
“C295 menawarkan sistem tercanggih, kos operasi dan kitaran hayat yang rendah serta jadual serahan awal,” katanya disini hari ini.
Malaysia menjadi salah satu destinasi persinggahan pilihan Pesawat Peninjau Maritim (MSA) Airbus C295, bagi siri jelajah Asia selama dua minggu.
Pesawat buatan Sepanyol itu, yang tiba Jumaat lalu, adalah model contoh yang dihantar kepada Tentera Udara Brazil untuk kegunaan misi mencari dan menyelamat.- BERNAMA