KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis untuk siasatan penemuan bom buatan yang ditemui pada kereta milik seorang jururawat di Kapar, Klang semalam.
Lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai bekas teman lelaki jururawat berkenaan.
Suspek ditahan pada awal pagi ini di Taman Petaling Indah, turut menemukan beberapa alat peranti elektronik dan bahan letupan yang dipercayai digunakan untuk membuat alat letupan yang dipasang pada kereta mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Fadzil Ahmad memberitahu, suspek merupakan bekas pelajar elektronik di sebuah kolej swasta pada tahun 2006 dan pernah bekerja di kedai elektrik.
Suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.
Mangsa menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada keretanya apabila mendengar bunyi “beep” ketika memandu kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu.
Beliau memberitahu, pakciknya yang kemudiannya memeriksa kereta berkenaan sebelum menemui sebuah objek yang tidak dikenali di bahagian belakang kereta.
Satu pasukan daripada Unit Pemusnah Bom telah dihantar ke rumah wanita berkenaan sejurus selepas menerima maklumat berkenaan penemuan objek tidak dikenali itu.
Selepas menjalankan siasatan terperinci terhadap objek tersebut, pasukan Unit Pemusnah Bom telah mengesahkan ia adalah sejenis alat letupan diubah suai (IED). – MalaysiaGazette