KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad membidas tiga kerajaan negeri pembangkang yang cakap berdegar-degar dalam isu rasuah tapi sehingga hari ini belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di negeri masing-masing.
Dzulkifli berkata, semua negeri sudah menandatangani IBR tapi tiga negeri yang diperintah oleh pembangkang masih tidak menunjukkan komitmen untuk menandatangani IBR secara sukarela, justeru kesungguhan mereka dalam melawan rasuah menjadi persoalan.
“Di peringkat negeri hanya tinggal tiga negeri sahaja yang belum melaksanakan ikrar bebas rasuah iaitu negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang lain semua dah buat bebas rasuah maknanya program ini bersifat sukarela.
“Kita menunggu jemputan negeri ini untuk kita selesaikan menunjukkan komitmen semua negeri dalam Malaysia nyatakan mereka begitu komited dan prihatin untuk bebaskan dan pastikan pentadbiran kerajaan negeri di seluruh negara bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media selepas Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Ujar Dzulkifli, tidak ada gunanya pembangkang cakap berdegar-degar dalam isu rasuah apabila mereka sendiri tidak mempunyai komitmen untuk menandatangani IBR.
“Ikrar itu penting nak tunjukkan komitmen kita tak nak orang cakap berdegar-degar tak suka rasuah.
“Kerajaan negeri harus main peranan tunjuk komitmen sekurang-kurangnya kepimpinan melalui tauladan kerajaan negeri mereka tunjuk komited mereka tolak rasuah,” ujarnya. – MalaysiaGazette