PUTRAJAYA – Tindakan DAP berdolak-dalik dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya diadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) hanya untuk meraih kepentingan politik, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri bahawa bukan niat untuk membatalkan pendaftaran DAP tetapi apa yang perlu DAP lakukan hanyalah dengan mengadakan semula CEC.
“Bila buat balik (CEC), selesai masalah,” Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ditemui pada majlis Ramah Mesra Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri di Menara Usahawan di sini hari ini.
“RoS adalah satu jabatan yang perlu kita hormati. UMNO dulu pun kena haram. Kita akur. Pertanyaan saya, kenapa DAP perlu mempolitikkan semua isu? Takkan mereka di atas undang-undang,” katanya yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO.
Mengulas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Rahman berkata rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap bekas perdana menteri itu kerana kenyataannya sentiasa bertukar-tukar dan bercanggah dengan prinsp yang diperjuangkan.
“Saya berasa sedih apabila melihat kredibiliti Dr Mahathir semakin hilang. Kita mahu meletakkan beliau sebagai negarawan tetapi ucapan dan kenyataan dibuatnya sentiasa bercanggah,” katanya.
Abdul Rahman turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-92 kepada Dr Mahathir dan berharap bekas perdana menteri itu kembali ke pangkal jalan dalam dunia politik. – BERNAMA