Home Ekonomi Harga minyak diramal AS$60 setong sebelum akhir tahun ini

Harga minyak diramal AS$60 setong sebelum akhir tahun ini

Gambar hiasan

NEW YORK – Minyak dunia dijangka mencecah AS$60 setong sebelum akhir tahun ini berikutan peningkatan permintaan minyak dan pengurangan bekalan oleh OPEC.

Laporan Barron yang memetik Penganalisis Kanan Tenaga Citigroup, Eric Lee yang berkata, penurunan harga minyak sejak beberapa minggu lalu hanyalah untuk jangka pendek.

Lee meramalkan permintaan minyak sebanyak 97.3 juta tong sehari pada tahun ini, lebih tinggi berbanding 96 juta tong pada tahun lalu, dipacu oleh pasaran baru muncul seperti China dan India.

Pada masa yang sama, pengurangan bekalan dari OPEC kira-kira 0.7 juta tong sehari berbanding purata 2016 harus mendorong harga naik sebelum akhir suku keempat.

Penurunan inventori minyak global bermula selepas suku pertama dan Lee mengunjurkan ia akan berterusan pada kadar lebih cepat menjelang akhir tahun ini.

Harga minyak ditutup hampir 3 peratus lebih rendah pada hari Jumaat berikutan peningkatan pengeluaran Amerika Syarikat dan peningkatan eksport OPEC pada tahun ini, menimbulkan keraguan terhadap usaha oleh pengeluar untuk mengekang bekalan.

Matt Smith, Pengarah Penyelidikan Komoditi di Clipperdata berkata, eksport OPEC adalah 2 juta tong sehari lebih tinggi bulan lalu berbanding pada bulan Jun 2016, meskipun pengurangan 1.8 juta tong sehari.

Lee menyatakan spekulator minyak telah mengabaikan perjanjian OPEC, yang mengarahkan pemotongan bermula pada penghujung 2016 dan bukannya apabila perjanjian itu diumumkan.

Mengenai bekalan minyak dari Amerika Syarikat, Lee berkata, pengekalan berterusan oleh pengeluar akan mengekalkan harga daripada melonjak terus kepada AS$100 setong, tetapi kehadiran mereka tidak mungkin menghalang kenaikan harga minyak untuk baki tahun ini. – MalaysiaGazette