PUTRAJAYA – Dakwaan yang mengatakan defisit fiskal negara semakin melebar adalah tidak berasas malah menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar, Malaysia setakat hari ini berjaya mengutip pendapat sebanyak RM55 bilion.
“Kita tidak mengalami peningkatan defisit kerana pengiraan defisit adalah secara tahunan.
“Biasalah ada bulan yang pendapatan kita meningkat, ada yang menurun tetapi semua itu telah diambil kira sejak awal lagi sewaktu kerajaan merangka bajet 2017 yang lalu.
“Malah setakat ini kita sudah mengumpul pendapatan sebanyak RM55 bilion dan yakin mampu mengadakan bajet yang lebih baik untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Terdapat laporan sebelum ini yang mengatakan perbelanjaan kerajaan semakin meningkat sehingga menyebabkan penambahan defisit fiskal bagi tempoh Januari hingga Mei.
Kerajaan juga katanya telah memotong bajet setiap kementerian untuk mengurangkan perbelanjaan operasi yang semakin bertambah.
Menurut Citi Research, fiskal defisit melebar kepada RM30.5 bilion bagi lima bulan pertama tahun ini berbanding RM26 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam pada itu, Irwan menjelaskan, keadaan itu berlaku kerana terdapat pendapatan kerajaan seperti dividen oleh Petronas serta terbitan bon dilakukan pada separuh kedua.
“Semua ini dilakukan secara penjadualan awal jadi ia telah diambil kira semasa merangka bajet.
“Sebab itu pengiraan defisit fiskal tidak boleh dikira secara bulanan, sebaliknya tahunan yang mana kita akan membuat pengiraan pada Disember nanti,” katanya sambil menegaskan sasaran defisit fiskal sebanyak tiga peratus tahun ini masih dikekalkan. -MalaysiaGazette