Home Nasional Polis kemuka laporan terkini kes pelajar tahfiz kepada pendakwaraya

Polis kemuka laporan terkini kes pelajar tahfiz kepada pendakwaraya

Datuk Kamarul Zaman Mamat.

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi pada 26 April lalu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya oleh Polis Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia dibuat susulan laporan perubatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan berhubung punca kematian pelajar itu hari ini.

“Berdasarkan laporan perubatan yang dikeluarkan itu, pihak polis akan mengemaskini kertas siasatan untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memaklumkan, laporan bedah siasat ke atas mayat pelajar tahfiz itu mendapati kematiannya berpunca daripada Leptospirosis atau kencing tikus dan bukan trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bedah siasat yang dijalankan pada hari sama pelajar itu meninggal dunia menggunakan sampel tisu dan darah sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dan Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa. – MalaysiaGazette.