Home Dunia AS sedia berkerjasama dengan Rusia – Trump

AS sedia berkerjasama dengan Rusia – Trump

Vladimir Putin dan Donald Trump. foto USA Today

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat berkata, sudah tiba masanya negara itu berkerja “secara konstruktif” dengan Rusia selepas pertemuannya dengan rakan sejawat, Vladimir Putin.

Donald Trump dalam Twitter beliau berkata: “Putin dengan tegas menafikan telah mengganggu pilihan raya Amerika Syarikat pada pertemuan pertama mereka di Sidang Kemuncak G20 pada hari Jumaat lalu.

Tetapi pendirian itu bercanggah dengan dengan beberapa pegawai kanannya sendiri.

Trump berhadapan dengan kritikan daripada pihaknya selepas mendedahkan cadangan untuk berkerjasama dengan Rusia atas keselamatan dalam talian.

Dalam Twitternya, Trump berkata, dia dan Putin telah membincangkan pembentukan “unit keselamatan Cyber supaya penggodaman pilihan raya dan banyak perkara negatif lain akan terpelihara dan selamat”.

Kenyataan Trump itu menyebabkan beliau dikecam oleh media sosial dan Parti Republikan.

Senator Marco Rubio menyifatkan inisiatif sedemikian akan menjadi seperti kerjasama dengan Presiden Syria Bashar al-Assad mengenai senjata kimia.

Senator Republikan, Lindsey Graham memberitahu MSNBC: “Ini bukan idea paling bodoh yang pernah saya dengar tetapi ia lebih kurang”.

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley berkata, Amerika Syarikat tidak boleh mempercayai Rusia dan tidak akan pernah mempercayai Rusia.

Beliau memberitahu CNN, bercakap dengan Rusia tidak bermakna Amerika Syarikat perlu leka.

Manakala Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson berkata, campur tangan pada pilihan raya 2016 kekal sebagai penghalang bagi hubungan yang lebih baik dengan Rusia.

Seorang pendakwa khas sedang menyiasat sama ada sekutu-sekutu Trump terlibat berkerjasama dengan Rusia untuk mempengaruhi pilihan raya Amerika Syarikat pada November lalu. – MalaysiaGazette