PETALING JAYA – Pelawak kumpulan Shiro, Shahrol diumumkan sebagai penyampai baharu stesen radio, Suria FM menggantikan Halim Othman bermula hari ini.
Shahrol, 33, mengendalikan segmen Suria Pagi dari pukul 5 hingga 10 pagi bergandingan dengan Zulin Aziz dan Fizi Ali.
Dia sebelum ini berkhidmat stesen radio Era FM selama dua tahun sebelum kontraknya tamat pada November tahun lalu.
Shahrol yang mendapat tawaran daripada Suria FM pada awal bulan ini dan meminta pandangan ahli keluarga dan rakan sebelum membuat keputusan.
“Saya memang mempunyai hasrat untuk terus berada dalam dunia penyiaran. Mengenai gandingan baharu, saya rasa tidak mempunyai masalah.
“Sebelum ini dengan bekas gandingan lama, Tauke dan Dina pun kami tidak berdepan masalah kecuali kadang-kadang berbeza dengan isi kandungan program.
“Dengan Zulin, saya pernah bekerja dengannya di atas pentas. Namun ini kali pertama saya bergandingan dengan Fizi dan saya yakin kami akan dapat keserasian.
“Jadi saya mahu mencuba benda baharu di tempat baharu kerana cabaran sebagai penyampai radio adalah perlu mempunyai banyak informasi dan sentiasa tahu isu semasa,” katanya.
Shahrol ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai penyampai baharu Suria FM di sini.
Ditanya tugasnya menggantikan tempat Halim, Shahrol mengakui dia memikul tanggungjawab yang besar kerana ikon penyampai radio negara itu memilik nama besar dan pengikut sendiri dalam arena penyiaran.
“Namun apabila masuk ke konti pagi tadi, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Ketika ini, Suria FM turut mempunyai beberapa penyampai lain seperti DJ Lin, Brian Chen, Bob Ringgo, Tyzo dan Suraya.
Jumlah pendengar radio swasta itu kini berjumlah lebih 2 juta orang manakala segmen Suria Pagi seramai 1 juta pendengar.- MalaysiaGazette
Shahrol xada aura penyampai yg cerdik berbanding halim yg berwibawa. What is wrong with suria management yr action I guarantee suria will be losing listerner n no more dihati kami