NEW YORK – Harga minyak naik dengan sederhana namun peningkatan aktiviti penggerudian di Amerika Syarikat dan ketidakpastian terhadap pemotongan pengeluaran minyak di Libya dan Nigeria menjejaskan prospek penawaran masa depan.
Niaga hadapan minyak Amerika Syarikat naik AS$0.17 atau 0.4 peratus kepada AS$44.40 setong, sementara harga minyak mentah Brent juga meningkat AS$0.17 sen kepada AS$46.88 setong.
Walaupun kenaikan sederhana, harga Brent adalah 17 peratus di bawah paras pembukaan pada tahun 2017.
Dengan persoalan-persoalan yang berlarutan berhubung pengurangan minyak, pasaran “pasti mengenai apa yang akan dilakukan OPEC,” kata James Williams, Presiden Perunding Tenaga WTRG Economics di London.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan beberapa ahli bukan OPEC bersetuju pada bulan Mei lalu untuk mengurangkan pengeluaran sehingga Mac 2018, namun langkah itu gagal menghapuskan lebihan minyak mentah global.
Beberapa menteri OPEC akan berjumpa di Rusia pada 24 Julai ini untuk berbincang mengenai pasaran minyak.
Ahad lalu, Kuwait memaklumkan bahawa Nigeria dan Libya telah dijemput untuk mesyuarat itu dan pengeluaran mereka boleh dihadkan lebih awal berbanding pada bulan November, ketika OPEC dijadualkan mengadakan rundingan formal, menurut Bloomberg.
Bagaimanapun, Menteri Minyak Nigeria tidak dapat menghadiri mesyuarat OPEC kerana komitmen lain, Menteri Minyak Kuwait Essam al-Marzouq memberitahu pemberita semalam.
Sebaliknya, Libya sudah bersedia untuk perbincangan tetapi memaklumkan bahawa keadaan politik, ekonomi dan kemanusiaannya harus diambil kira dalam perbincangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin Nasser memberitahu satu persidangan di Istanbul bahawa dunia sedang menuju kekurangan bekalan global.
“Jumlah minyak konvensional yang ditemui di seluruh dunia dalam tempoh empat tahun lalu telah melebihi separuh berbanding empat yang sebelumnya,” kata Nasser.
Namun, pengeluaran minyak Amerika Syarikat terus berkembang lebih daripada 10 peratus sejak pertengahan 2016. – MalaysiaGazette