KUALA LUMPUR – Punca sebenar kematian Allahyarham Mohammad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi diharap merungkai kemelut kematian pelajar tahfiz yang menjadi isu kontroversi sebelum ini.
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd. Zahid Mahmood berkata, melalui kenyataan Kementerian Kesihatan punca kematian arwah disebabkan oleh kencing tikus.
“Selain kita perlu mengambil iktibar yang sewajarnya daripada kejadian ini, PINTA juga memohon agar pihak polis dan pendakwaraya dapat mengambil inisiatif yang seperlunya rentetan perkembangan dan dapatan terakhir kes ini.
“Semoga segala tuduhan dan persepsi negatif yang ditanggung oleh pihak madrasah dan pembantu warden selama ini dapat diperbetulkan dengan sebaiknya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zahid, PINTA juga menyeru agar komuniti madrasah tahfiz terus berusaha untuk menjadikan pusat pendidikan tahfiz masing-masing sebagai satu wadah yang terbaik bagi menjana para agamawan serta daya sumber insani kamil lainnya buat tanah air kita Malaysia ini sesuai dengan falsafah pendidikan dalam Islam serta Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.- MalaysiaGazette