Home Nasional Felo Perdana mampu lahirkan pemimpin pelapis berkaliber

Felo Perdana mampu lahirkan pemimpin pelapis berkaliber

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Felo Pejabat Perdana Menteri, Muhammad Adam A Hanif (tiga kiri) dari Universite De Technologie De Beltfort-Montbeliard sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi (tengah) pada Majlis Penyerahan Felo Perdana di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – Dalam menjadikan belia negara ini sebagai aset terpenting negara yang akan menjadi pewaris dan pemimpin masa depan, inisiatif kerajaan dalam melaksanakan program Felo Perdana tidak harus dikompromi mana-mana pihak.

Menurut Shakirin Shahrul Jamal, 20, yang dipilih menjadi Felo Perdana Menteri berkata, program seumpama ini perlu dalam melahirkan platform ke arah melahirkan pelapis bagi menggantikan pemimpin berkaliber masa kini.

Shakirin Shahrul Jamal.

Malah katanya, ia dilihat dapat mengenal pasti bakat pemimpin muda sebagai pemimpin pelapis dalam kepemimpinan organisasi serta bakal menyumbang kepada pengukuhan gedung bakat kepimpinan kerajaan.

“Saya rasa ini platform yang cukup baik untuk warga muda seperti saya untuk belajar dan menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman sebagai persediaan untuk menghadapi dunia pekerjaan,” kata penuntut Universiti Sunway itu.

Shakirin adalah antara 85 peserta Felo Perdana hasil pelaksanaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pelaksanaan ini merupakan satu insentif KBS untuk melahirkan golongan belia yang lebih dinamik, berdaya saing dan mempunyai pengetahuan bukan sahaja berhubung sistem Kabinet tetapi juga pelbagai aspek kepimpinan negara.

Bagi penuntut Universiti Cambridge, Lim Jay Yen, 22, program seumpama ini membolehkan beliau memahami bagaimana rumitnya untuk mentadbir sesebuah kementerian atau kerajaan agar sebarang masalah yang timbul mampu diselesaikan dan rakyat sama-sama mendapat manfaatnya.

Lim Jay Yen

“Saya akan berusaha untuk memberikan idea-idea bernas mengenai apa yang dikehendaki oleh golongan muda seperti saya terhadap kerajaan. Malah berusaha untuk membantu menjadikan Malaysia lebih baik.

“Saya rasa TN50 adalah idea yang bagus terutama melibatkan golongan muda dalam mewarnakan masa depan.

“Yang paling penting adalah mengambil pandangan golongan seperti kami untuk memperkukuhkan pelaksanaan TN50 di masa akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 403 pelajar seluruh negara sudah diangkat menjadi Felo Perdana setakat ini. -MalaysiaGazette.