Home Ekonomi Harga petrol harian tidak sesuai

Harga petrol harian tidak sesuai

gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penetapan harga petrol dan diesel secara harian tidak akan dilaksanakan di Malaysia dalam masa terdekat.

Sebaliknya, mekanisme yang memerlukan kajian terperinci itu hanya boleh dilaksanakan dalam jangka panjang, jika turun atau naik harga bahan bakar itu tidak begitu ketara.

Sumber industri berkata, setakat hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih belum memutuskan pendekatan terbaik dalam penetapan harga petrol dan diesel di Malaysia.

“Pengendali masih tidak tahu hala tuju penetapan harga petrol yang mahu diperkenalkan oleh KPDNKK. Banyak isu yang perlu dinilai dan dilihat dan dipertimbangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sumber itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam yang akan mengumumkan formula baharu bagi harga runcit petrol tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dilaporkan sedang berbincang perkara berkenaan dengan pengendali-pengendali stesen minyak.

Sumber itu mengakui bukan mudah untuk mengubah formula dengan kerap memandangkan harga minyak global dalam trend menaik.

“Sekarang harga minyak masih rendah mungkin tidak mengapa, tetapi kalau harga minyak mula naik sehingga akhir tahun seperti yang diramalkan, bagaimana?

“Bukan mudah untuk menetapkan satu formula yang menang-menang kerana harga minyak di pasaran global ditentukan oleh pelbagai faktor,” katanya.

Malaysia telah menggapungkan sistem penetapan harga petrol dan diesel secara bulanan sejak 1 Disember 2014 selepas penghapusan subsidi minyak.

Bagi menggantikan sistem itu, kerajaan memperkenalkan penetapan mingguan mulai April tahun ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz mengakui penurunan ketara harga minyak menyebabkan pengusaha-pengusaha stesen minyak tempatan mengalami masalah pusingan modal.

Senario itu berlaku apabila penurunan harga minyak berlaku hampir setiap minggu pada bulan Mei dan Jun lalu.

Lantaran itu, PDAM mahu kerajaan menyemak semula pusingan modal yang ditetapkan kerajaan antara RM300,000 hingga RM700,000 sejak tahun 2008 bagi memastikan pengusaha-pengusaha itu dapat meneruskan kelangsungan perniagaan.

Selain pusingan modal, perkara-perkara lain termasuk isu komisien dan tempahan minyak.

Khairul mahu pengusaha-pengusaha stesen minyak diberi kebebasan untuk membuat tempahan bekalan minyak berbanding ditentukan oleh syarikat-syarikat minyak pada masa sekarang.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, meskipun harga minyak susut, namun ia belum berada pada tahap merugikan pengendali stesen minyak. – MalaysiaGazette