Home Ekonomi IPP bulan Mei meningkat hampir 5%

IPP bulan Mei meningkat hampir 5%

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 4.6 peratus pada bulan Mei 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam indeks pembuatan (7.3 peratus) dan elektrik (2.5 peratus).

Bagaimanapun indeks perlombongan menurun sebanyak 2.3 peratus.

Jabatan Statistik dalam kenyataannya berkata, output sektor pembuatan terus mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 7.3 peratus pada bulan Mei 2017 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus pada bulan April 2017.

Sub-sektor utama yang meningkat pada bulan Mei 2017 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (11.6 peratus); makanan, minuman dan tembakau (12.9 peratus); dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.1 peratus).

Output sektor perlombongan menyusut sebanyak 2.3 peratus pada bulan Mei 2017 (April 2017 : -2.0 peratus) berikutan penurunan 5.4 peratus dalam indeks minyak mentah.

Katanya, indeks gas asli meningkat sebanyak 1.5 peratus.

Output sektor Elektrik meningkat sebanyak 2.5 peratus pada bulan Mei 2017 selepas penurunan sebanyak 1.5 peratus yang dicatatkan pada bulan April 2017. – MalaysiaGazette