Home Politik Jangan politikkan KJ sertai Sukan SEA – GAUM

Jangan politikkan KJ sertai Sukan SEA – GAUM

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika beraksi pada kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2017 diantara pasukannya, Jogo Polo Team dan Ranhill Putrajaya di Padang Polo Royal Selangor, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JULAI 2017
KUALA LUMPUR – Penyertaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam acara polo berpasukan bagi mewakili Malaysia dalam Sukan SEA 2017 tidak sewajarnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Presiden Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia seharusnya dilihat dari sudut positif sebagai wadah serta pemangkin bagi membangkitkan semangat bersukan demi menjaga kesihatan.
“Di antara matlamat temasya Sukan Sea termasuk juga mana-mana pertandingan sukan di seluruh dunia adalah bagi memupuk semangat kesukanan di kalangan rakyat jelata.
“Justeru penyertaan Khairy yang disifatkan sebagai mewakili Menteri Kabinet Malaysia seharusnya disokong sepenuhmya oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa memilih fahaman politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan
Isnin lalu, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar skuad polo Sukan SEA menentang Kelab Polo Diraja Johor dalam usaha menghentikan spekulasi berhubung isu membabitkan sukan itu.
Tunku Ismail berkata, pasukan Kelab Polo Diraja Johor terdiri daripada adiknya Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, dua pemain dan beliau sendiri.
Perkara itu turut disahkan Presiden Kelab Polo Putra, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang berkata Khairy layak secara merit berdasarkan pemilihan dibuat oleh Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA).
Khairy Jamaluddin menjadi salah seorang daripada 12 atlet negara yang disenarai pendek untuk acara polo berpasukan di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.
Zulkarnain Mahdar
Mengulas lanjut, Zulkarnain turut menegaskan, penyertaan Khairy tidak seharusnya dilihat untuk mencari publisiti murahan sebaliknya beliau sememangnya popular dalam kalangan anak muda di Malaysia sebelum ini.
“Beliau mempunyai penyokong dan peminat tersendiri sebaik saja memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia sejak 2009 lagi.
“Sekiranya ada cabaran untuk mempelawa skuad Polo Kebangsaan bertanding bagi menilai prestasi mereka dengan bermatlamat untuk mencari kelemahan sebaiknya cabaran ini perlu diabaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.